Friday, March 7, 2025

Part 20 : Malam Yang Tenang

 Malam itu, rumah Rahman kembali riuh dengan suara gelak tawa dan hiruk-pikuk keluarga. Udang yang dibawa pulang oleh adik-beradik itu memenuhi meja makan, segar dan berkilat, hasil tangkapan mereka di laut. Di dapur, menantu-menantu Pak Lah sibuk memasak – ada yang menggoreng udang, ada yang membakar sambal, dan ada pula yang menyusun lauk-pauk di meja makan.

Pak Lah duduk di ruang tamu, memangku cucunya Haikal yang sedang aktif bermain. Sesekali dia menyelitkan gurauan ringan, membuatkan Haikal ketawa terbahak-bahak. Pak Lah sendiri tersenyum melihat kegembiraan cucunya.

"Haikal ni ikut perangai siapa agaknya? Riuh semacam," usik Pak Lah kepada Rahman yang baru keluar dari dapur membawa pinggan berisi ulam-ulaman.

"Ikut perangai atuk dia lah tu," jawab Rahman sambil ketawa kecil.

Makanan siap terhidang, dan mereka semua duduk mengelilingi meja. Udang yang dimasak pelbagai cara memenuhi meja makan, menjadi santapan yang tidak mampu ditolak. Gelak tawa dan cerita sepanjang hari memancing mengisi ruang makan, membangkitkan suasana penuh kekeluargaan.

"Rugi betul ayah tak ikut tadi," Rashid bersuara, sambil menyuap udang goreng kunyit ke dalam mulutnya. "Meriah mancing tadi. Udang ni melompat-lompat, besar-besar semuanya."

"Betul tu," sambung Rahmat, sambil menambah nasi ke dalam pinggannya. "Ada satu saat tadi dia tarik kuat, rasa macam nak terjatuh. Kalau ayah ada, mesti seronok main tarik-tarik."

Pak Lah hanya tersenyum sambil mengunyah perlahan teruja melihat anak-anaknya bersemangat. Dia memandang manja wajah anak-menantu-menantunya. Ada sesuatu di matanya – satu pandangan yang tidak dapat diterjemah, antara puas hati, lega, dan kenakalan yang cuba disembunyikan dari anak-anaknya.

"Tak apalah, bukan rezeki ayah" Pak Lah menjawab, akhirnya. "Ayah pun seronok kat rumah. Dapat main dengan cucu ayah ni, dapat makan dengan semua menantu ayah. Apa lagi yang ayah nak?" ujarnya tersenyum nakal.

Menantu-menantunya tersenyum mendengar kata-kata itu, senyuman yang tersirat dan penuh makna. Pak Lah memandang mereka satu persatu, lama. Sekali lagi, senyumannya muncul – kecil, tetapi penuh maksud.

Malam semakin larut, dan satu persatu anaknya masuk ke bilik masing-masing bersama isteri. Rumah mulai sunyi, hanya bunyi cengkerik dari luar mengisi suasana. Pak Lah duduk di bangku luar rumah, menggulung rokok daunnya perlahan. Dia menghembuskan asap ke udara malam, menatap langit yang dihiasi bintang-bintang.

Dalam diam, dia memikirkan segala yang berlaku kebelakangan ini – rahsia yang tersimpan, hubungan yang terbina, dan masa depan yang tidak pasti. Namun, satu perkara yang pasti baginya, hidupnya kini terasa lebih penuh, lebih bermakna dan tidak sesunyi dulu.

Di sebalik semua itu, senyuman kecilnya tetap tersisa, seolah-olah dia menikmati sesuatu yang hanya dia sendiri tahu. Malam itu, Pak Lah menikmati saat-saat sunyi itu dengan tenang, tanpa tergesa-gesa.

"Sisa hidup ni... aku nak habiskan dengan bahagia," bisiknya kepada dirinya sendiri, sebelum menghisap rokok daunnya lagi.

###


No comments:

Post a Comment